UNIT 3: ICT Sebagai Alat Aplikasi

3.1 Objektif
Di akhir unit ini, guru-guru akan dapat:
·  Menerangkan maksud mengguna ICT sebagai alat aplikasi.
·  Menerangkan bagaimana mengguna ICT
sebagai alat aplikasi.
·  Merancang aktiviti p&p mengguna ICT
sebagai alat aplikasi.
·  Melaksana aktiviti p&p yang mengguna ICT
sebagai alat aplikasi.

3.2 Apa Maksud ICT Sebagai Alat Aplikasi?
ICT dikatakan diguna sebagai alat aplikasi apabila membantu
murid melaksanakan tugasan pembelajaran, bukan sebagai
mekanisma penyaluran maklumat p&p.
Contohnya penggunaan perisisan aplikasi umum seperti
pemproses perkataan oleh murid dalam menghasilkan karangan
atau penggunaan perisian hamparan elektronik untuk memplot
graf.
Perisian aplikasi khusus seperti editor grafik, Computer Aided
Design (CAD) dan lain-lain juga termasuk dalam kategori alat
aplikasi yang boleh digunakan untuk membantu murid
melaksanakan aktiviti pembelajaran.

3.3 Bagaimana Guna ICT Sebagai Alat Aplikasi?
Di kalangan guru, ada yang beranggapan
penggunaan ICT dalam konteks di atas telah
dipenuhi bila muridnya menyediakan karangan
dengan menggunakan pemproses perkataan.
Penggunaan seperti ini tidak menyokong manamana
falsafah pendidikan, sebaliknya, komputer
dan pemproses perkataan hanya diguna seperti
mesin taip sahaja. Bagaimanapun, apabila
sekumpulan pelajar berbincang, mengedit dan mengolah
kandungan karangan dengan bantuan pemproses perkataan dan
mempersembahkan hasil karangan ini, barulah boleh dikatakan
ICT telah digunakan secara yang bermanfaat.

Situasi ini turut mengambarkan pengoperasian teori
pembelajaran sosio-budaya (socio-cultural learning) yang
menyatakan budaya atau persekitaran sosial turut membantu
pembelajaran – murid saling mempelajari dan membantu
sesama mereka membangunkan kemahiran kognitif,
metakognitif, bertutur (verbal) dan bekerjasama (Brown, 1994;
Perkins, 1992; McInerney & McInerney, 1998)
Dengan bantuan aplikasi-aplikasi ini, murid akan dapat
memberikan tumpuan melakukan aktiviti pembelajaran yang
autentik. Katakan dalam satu eksperimen yang telah dilakukan,
murid perlu mengkaji perkaitan antara dua pembolehubah.
Mungkin banyak graf perlu diplot supaya perkaitan antara dua
pembolehubah ini dapat dilihat. Walaupun kemahiran membina
graf perlu dikuasai oleh murid tetapi dalam hal ini sepatutnya
tumpuan diberi kepada melihat perkaitan antara dua
pembolehubah itu. Tugas membina graf-graf ini mungkin
memesongkan tumpuan murid daripada perkara yang lebih
penting. Dalam hal ini, perisian aplikasi yang sesuai boleh
digunakan untuk membantu murid membina graf-graf yang
diperlukan itu, sementara perhatian mereka ditumpukan untuk
melihat perkaitan antara pembolehubah tersebut.
Satu lagi situasi ialah seorang murid (dalam apa juga subjek
yang berkaitan) mungkin perlu mengklasifikasi dan menyisih
data yang banyak untuk melihat sesuatu trenda dalam data itu.
ICT ialah alat yang ideal untuk diguna untuk tugas yang tidak
autentik (iaitu mengklasifikasi dan menyisih data yang banyak)
manakala murid itu boleh menumpukan sepenuh perhatian
kepada tugas yang autentik (iaitu melihat dan memikirkan
berkenaan trenda yang ada dalam data itu).

3.4 Apa Kelebihan Mengguna ICT Sebagai Alat Aplikasi?
·  Murid boleh memberikan tumpuan kepada melakukan
aktiviti pembelajaran yang autentik.
·  Guru boleh mengemuka masalah yang lebih mencabar
minda pelajar.
·  Murid dapat meningkat kecekapan dan ketepatan hasil
pembelajaran.